JABATAN OBSTETRIK & GINEKOLOGI

Perkhidmatan klinikal Jabatan Obstetrik dan Ginekologi bermula di Pusat Perubatan UiTM (PPUiTM) Kampus Selayang sejak 2010, diikuti dengan kampus Sungai Buloh pada 2011. Perkhidmatan yang diberikan menerima sambutan yang baik daripada masyarakat serata Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan permintaan dan jumlah pesakit yang semakin meningkat, perkhidmatan yang diberikan juga semakin bertambah.

Perkhidmatan prosedur pesakit luar dan juga pembedahan kecil bermula pada tahun 2012 diikuti oleh pembedahan sakit puan dengan adanya Dewan Bedah di PPUiTM Kampus Sungai Buloh.
 
Kini, pelbagai perkhidmatan subkepakaran telah disediakan dan di dalam proses perkembangan termasuk perkhidmatan pembedahan robotik, urogynaecology, dan juga perubatan feto-maternal.
Visi
Untuk menjadi pusat akademik dan penyelidikan terkenal yang menyediakan penjagaan holistik yang sangat baik dalam kesihatan

Misi
Untuk menyediakan penjagaan kesihatan wanita yang penyayang dan cemerlang melalui program pendidikan yang luar biasa, penyelidikan inovatif dan amalan klinikal berasaskan kajian yang terbukti.
Image
Image
Klinik antenatal
Klinik ginekologi umum
Klinik pakar termasuk
- Uroginekologi
- Perubatan Kesuburan
- Perubatan Fetomaternal
Prosedur Pesakit Luar
- Colposcopy
- Hysteroscopy
- Urodynamic study
Rawatan Pesakit-dalam
Pembedahan obstetrik dan ginekologi
-Pembedahan Robotik
-Pembedahan Laparoskopi
Rawatan kes-kes sakit puan (kecemasan)
Pendidikan kesihatan

FAQ PAKEJ BERSALIN HASA

1. Bagaimana caranya atau prosedur untuk bersalin di Hospital Al Sultan Abdullah?

Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) adalah merupakan hospital rujukan. Bagi mendapatkan perkhidmatan bersalin di HASA, pesakit perlu mendapatkan surat rujukan daripada mana-mana hospital atau klinik kesihatan kerajaan atau swasta untuk dirujuk ke HASA. Pesakit dikehendaki untuk membawa surat rujukan tersebut ke Kaunter Jururawat Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak. Selain itu, pesakit boleh memuat naik surat rujukan di laman web HASA. Tarikh janji temu akan diberikan dalam masa 14 hari bekerja selepas doktor menyaring surat rujukan.

 

2. Bolehkah pesakit walk in untuk janji temu?

Tidak, Klinik Pakar Wanita dan Kanak-kanak tidak menerima pesakit secara walk-in. Semua pesakit perlu hadir mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan. Bagi mendapatkan tarikh janji temu, pesakit dikehendaki untuk membawa surat rujukan ke Kaunter Jururawat Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak. Selain itu, pesakit boleh memuat naik surat rujukan di laman web HASA.  Sekiranya pesakit memerlukan rawatan segera, pesakit boleh boleh hadir ke Jabatan Kecemasan.

 

3. Bagaimanakah cara untuk membuat pertukaran tarikh janji temu?

Hubungi Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak di talian 03-33963201 semasa waktu operasi, pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Untuk makluman, waktu rehat klinik pada Isnin hingga Khamis bermula 1.00 tengahari hingga 2.00 petang dan Jumaat pada 12.15 tengahari hingga 2.45 petang.

 

4. Bilakah waktu operasi Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak?

Dibuka pada Isnin hingga Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Waktu rehat klinik pada Isnin hingga Khamis bermula 1.00 tengahari hingga 2.00 petang dan Jumaat pada 12.15 tengahari hingga 2.45 petang.

 

5. Apakah prosedur pendaftaran pesakit sebelum waktu janji temu?

HASA melaksanakan sistem pendaftaran 30 minit awal sebelum waktu janji temu. Pendaftaran hendaklah dilakukan di Kaunter Pendaftaran Klinik Pakar HASA sebelum pesakit hadir di Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak. Ini bagi mengelakkan kesesakan di klinik dan mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan.

 

6. Adakah cara lain yang boleh digunakan untuk mendaftar selain di Kaunter Pendaftaran Klinik Pakar HASA?

Pesakit yang sudah mempunyai nombor pendaftaran HASA (contoh HUiTM 0023456)  boleh memuat turun Aplikasi Mobil Digital Hospital UiTM di Google Playstore dan Apple Store (kata carian Hospital UiTM.) dan boleh mendaftar masuk menggunakan aplikasi tersebut. Bagi pesakit baharu, pendaftaran wajib dibuat di Kaunter Pendaftaran Klinik Pakar HASA sebelum boleh menggunakan Aplikasi Mobil Digital Hospital UiTM.

 

7. Apakah kriteria yang diperlukan untuk mendapat temujanji di klinik ibu mengandung di HASA?

Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak menerima surat rujukan kandungan sebelum 30 minggu.

 

8. Kenapakah HASA tidak menerima pesakit yang mempunyai kandungan melebihi 30 minggu?

Hal ini adalah kerana pakar O&G  memerlukan masa yang mencukupi untuk memantau dan menilai perkembangan kandungan ibu untuk memastikan proses kelahiran yang selamat.

 

9. Berapakah kekerapan minimum pemeriksaan ibu hamil yang diperlukan untuk membolehkan ibu bersalin di HASA?

Ibu mengandung perlu menghadiri sekurang-kurangnya 1-2 kali janji temu di Klinik Pakar O&G  bagi membolehkan ibu tersebut bersalin di HASA. Kekerapan janji temu di Klinik Pakar O&G bergantung kepada keadaan kesihatan ibu. Ibu juga mungkin akan dinasihatkan untuk meneruskan janji temu di Klinik Kesihatan di samping janji temu di Klinik Pakar O&G.

                                                                                                        

10. Adakah perkhidmatan ultrasound detailed scan ditawarkan di fasiliti kami?

Perkhidmatan tersebut hanya ditawarkan kepada pesakit yang mempunyai sebab-sebab kesihatan yang khusus (certain medical indications) yang dirujuk secara langsung oleh pegawai/pakar perubatan daripada mana-mana fasiliti kesihatan.

 

11. Berapakah harga pemeriksaan antenatal di HASA?

Cas RM 15.00 akan dikenakan untuk pendaftaran pesakit baharu (sekali sahaja) dan tambahan RM 15.00 untuk harga konsultasi pakar bagi setiap sesi. Lain-lain cas akan dikenakan bergantung kepada jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit. Contohnya seperti pemeriksaan darah ataupun ultrasound. Bagi senarai harga dan caj lengkap sila rujuk kepada Kaunter Pembayaran HASA. Walau bagaimanapun, perkhidmatan pemeriksaan antenatal bagi pesakit yang merupakan penjawat awam (yang mempunyai Surat Jaminan) adalah percuma.

 

12. Berapakah harga pakej bersalin di HASA?

Secara ringkasnya terbahagi kepada dua iaitu Bersalin Normal dan Bersalin Secara Pembedahan. Sila berhubung dengan Kaunter Pembayaran bagi harga dan perkhidmatan pakej yang lebih lengkap atau boleh terus rujuk di laman web HASA.

 

Pesakit yang menpunyai surat jaminan dari sektor awam masih perlu membuat pembayaran bagi pakej bersalin normal/ pembedahan. Hanya staff UiTM sahaja yang tidak tertakluk kepada pembayaran.

 

Bersalin Normal : RM 2000

2 hari satu malam (Tiada Kelas Pertama).

Termasuk katil, makanan, rawatan, ubatan standard dan suntikan bayi.

Tidak termasuk prosedur epidural, vacuum dan forcep.

Harga mungkin bertambah jika tinggal lebih dari 2 hari 1 malam.

Tiada pilihan doktor yang merawat (spesifik doktor) kerana bergantung kepada jadual tugasan atas panggilan.

 

Bersalin Secara Pembedahan : RM 3500

3 hari 2 malam (Tiada Kelas Pertama).

Termasuk katil, makanan, rawatan, ubatan standard , suntikan bayi.

Harga mungkin bertambah jika tinggal lebih dari 3 hari 2 malam.

 

13. Adakah HASA menerima pesakit yang menggunakan surat jaminan kakitangan kerajaan (GL)?

HASA terbuka menerima semua pesakit tidak kira sesiapapun. Namun HASA tidak menerima caj bayaran melalui surat jaminan kakitangan kerajaan (GL). HASA hanya menerima pembayaran terus melalui bayaran tunai, kad kredit atau debit sahaja. Hanya pesakit dikalangan staf UiTM dan pesakit yang menggunakan perkhidmatan syarikat insurans yang berdaftar dengan HASA sahaja yang boleh menggunakan surat jaminan kakitangan HASA atau surat jaminan syarikat insurans yang berkenaan. Untuk keterangan lanjut boleh berhubung dengan Kaunter Pembayaran.

 

14. Bilakah pesakit perlu membuat pembayaran untuk pakej bersalin?

Deposit atau pembayaran keseluruhan harga pakej perlu dibayar pada hari kemasukan ke Dewan Bersalin. Pesakit atau waris pesakit boleh membuat pembayaran secara terus semasa hari kemasukan di Kaunter Pembayaran.

 

15. Bolehkah pesakit membuka Buku Antenatal semasa fasa awal kehamilan di HASA?

Kami hanya menerima pesakit awal kehamilan yang dirujuk kerana memerlukan penilaian pakar sahaja.

 

Pesakit- pesakit lain (yang berisiko rendah) boleh membuka Buku Antenatal seawal mungkin di hospital dan klinik kesihatan lain sebelum mencapai 22 minggu kandungan. Janji temu pertama bagi mereka yang berisiko rendah hanya akan diberikan selepas kandungan melepasi 22 minggu ke atas.

Ini bagi membenarkan pihak kami memberikan ruang kepada lebih ramai pesakit yang mempunyai masalah / berisiko tinggi untuk menerima rawatan bermula dari awal kehamilan mereka. Ini memandangkan slot janji temu juga terhad kerana HASA turut menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan lain selain rawatan susulan ibu mengandung di Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak.

 

16. Bolehkah pesakit datang pada waktu petang untuk janji temu?

Pesakit perlu mematuhi tarikh dan masa janji temu yang telah diberi awal kepada pesakit. Perkara ini bagi memberi keadilan kepada semua pesakit lain yang hadir mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan kepada mereka. Ianya juga bagi mengelakkan kesesakan tidak perlu di klinik dan mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, waktu petang juga adalah merupakan waktu pentadbiran staf klinik untuk kerja-kerja dokumentasi pesakit setelah melaksanakan kerja klinikal di waktu pagi.

 

17. Bolehkah pesakit membawa peneman semasa janji temu bersama pakar?

Pesakit dibenarkan membawa seorang peneman sahaja. Hal ini adalah untuk menjamin keselesaan pesakit lain yang lebih memerlukan disebabkan fasiliti ruang menunggu seperti kerusi adalah terhad.

 

18. Bolehkah suami atau ahli keluarga yang lain menemani isteri di dalam Bilik Bersalin di Dewan Bersalin HASA?

Dewan Bersalin HASA mengamalkan polisi mesra suami iaitu suami ataupun ahli keluarga berjantina perempuan (seorang sahaja) dibenarkan untuk menemani isteri semasa  fasa aktif. Boleh rujuk pada polisi di laman web HASA.

 

19. Bolehkah suami atau ahli keluarga menemani isteri semasa di Wad Bersalin?

Setakat ini, HASA masih lagi  tidak membenarkan sebarang peneman (suami atau ahli keluarga) menunggu di Wad Postnatal atas faktor keselamatan, privasi dan keselesaan pesakit. Namun begitu, harapan kami adalah untuk membenarkan peneman wanita untuk menemani pesakit semasa berada di Wad Postnatal di masa hadapan.

 

20. Bolehkah pesakit yang tidak mendaftar dengan kami walk in ke Dewan Bersalin di HASA?

Kami hanya menerima pesakit yang pernah menerima rawatan susulan pemeriksaan antenatal di Klinik Pakar Wanita dan Kanak-Kanak sahaja. Jika pesakit  yang tidak berdaftar mengalami tanda-tanda untuk bersalin, pesakit dinasihatkan  untuk terus ke hospital atau pusat bersalin lain yang menerima kes walk in. Ini kerana katil di HASA adalah terhad untuk pesakit yang telah mendaftar dengan kami sahaja. HASA sangat komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit HASA. Namun begitu, harapan kami adalah untuk dapat memberikan perkhidmatan secara menyeluruh baik kepada pesakit kami mahupun  kepada pesakit  yang datang  secara walk in di masa hadapan.

 

21. Sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda bersalin seperti air ketuban pecah, kontraksi yang kuat dan pendarahan atau sebarang isu, apakah yang perlu dilakukan?

Sila hubungi Dewan Bersalin HASA di talian 03-33963309 dan segera ke sana untuk rawatan lanjut.

 

22. Sekiranya kandungan pesakit yang berusia bawah 22 minggu mengalami sebarang masalah seperti pendarahan, sakit abdomen yang kuat dan keluar air ketuban apakah yang perlu dilakukan?

Segera ke Jabatan Kecemasan.

 

23. Sekiranya kandungan pesakit yang berusia 22 minggu ke atas mengalami sebarang masalah seperti pendarahan, sakit abdomen yang kuat dan keluar air ketuban apakah yang perlu dilakukan?

Segera ke PAC/Dewan Bersalin.

DIREKTORI STAF

Hubungi Kami

Hospital Al-Sultan Abdullah,
Universiti Teknologi MARA,
42300 Bandar Puncak Alam,
Selangor,

Waktu Operasi

Isnin - Jumaat : 8.00 pagi - 5.00 petang

Pasport Kesihatan Digital Mudah Alih